Friday, January 20, 2017

Kemelesetan Ekonomi Bencana Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja






Assalamu’alaikum wrt.


Kemelesetan Ekonomi

Seperti yang diketahui dan dirasai umum, cabaran ekonomi masa kini telah mengheret pelbagai masalah di dalam masyarakat. Masalah yang diburukkan lagi dengan kebobrokkan pemimpin-pemimpin negara dalam mengurus tadbir negara ini menjadikan ianya seakan episod malang yang tiada kesudahannya.

Isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja juga tidak terkecuali dari terkena tempias isu yang melemaskan ini.

Namun begitu, tidak ramai yang terfikir berkenaan impak sebenar isu kemerosotan aspek keselamatan, kesihatan, dan kebajikan di kalangan pekerja dek kerana masalah eknomi ini.




Pekerja

Apabila menyebut tentang perkataan ‘pekerja’, ia sebenarnya merujuk kepada diri sendiri, ahli keluarga, kenalan atau sesiapa juga yang berkhidmat di dalam mana-mana sektor pekerjaan.

Oleh itu, jangan kita mengasingkan diri apabila disebutkan isu berkaitan pekerja ini.


Keadaan yang Sedia Parah

Pada hakikatnya, walaupun aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara kita telah banyak menunjukkan peningkatan berbanding dahulu, ianya masih di takuk yang agak rendah berbanding negara-negara maju yang lain.

Berdasarkan tahap sedia ada, ianya tidak dapat menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja di negara ini secara menyeluruh, dan ditambah pula dengan cabaran ekonomi yang semakin memburuk ini, pasti ianya akan menjunamkan lagi tahap penjagaan keselamatan dan kesihatan  pekerjaan di negara ini ke dasar yang lebih dalam kelak.



Dilema Pekerja

Tiada seorang pun dari kita yang berimpian untuk mendapat kemalangan atau penyakit disebabkan pekerjaan yang kita lakukan. Pasti niat utama kita ketika keluar bekerja adalah untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengisi perut keluarga masing-masing selain berkhidmat untuk masyarakat.

Dengan situasai ekonomi yang mendesak ini, pekerja dipaksa untuk bekerja di dalam persekitaran yang tidak selamat dan sihat secara tidak langsung. Bahkan aspek kebajikan juga pasti akan terabai disebabkan isu ini.

Pekerja terdedah kepada bahaya-bahaya pekerjaan seperti;

  •          Keletihan dan tekanan akibat kerja lebih masa yang disebabkan oleh pengecilan bilangan pekerja di tempat kerja;
  •             Kehilangan fokus dan motivasi untuk bekerja akibat pemotongan gaji dan elaun;
  •         Risiko kecederaan disebabkan jentera yang tidak diselenggari dengan baik;

4.       Dan lain-lain lagi bahaya yang mungkin berlaku akibat kekurangan peruntukan bagi menjaga aspek keselamatan, kesiahtan dan kebajikan pekerja ini.

Namun begitu, pekerja tidak dapat membuat apa-apa tindakan berkenaan perkara ini kerana bagi mereka, lebih baik bekerja di dalam keadaan yang berbahaya daripada kehilangan mata pencarian.


Kitaran Malang yang Tidak Terhenti

Dengan kelonggaran aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja, ianya pasti akan mewujudkan kesan berantai yang lain seperti;
  •       Peningkatan kes kemalangan dan penyakit pekerjaan
  •         Peningkatan tuntutan sama ada melalui PERKESO atau Ex-Gratia bagi kakitangan.
  •         Penurunan produktiviti.

Yang akhirnya akan menatijahkan kesan jangka panjang yang mungkin akan meruntuhkan negara ini.


Penyediaan Sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang Murah dan Berkualiti

Pihak-pihak berwajib berkaitan isu ini bukan sahaja bertanggungjawab dalam memastikan pihak industri mematuhi setiap perundangan yang ada, bahkan menjadi kewajiban bagi mereka untuk membantu industry dalam menyediakan prasarana yang mencukupi bagi menjaga aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja yang bersifat kos efektif dan berkualiti.

NIOSH, JKKP, CIDB, PERKESO, Jabatan Tenaga Manusia dan agensi-aganesi lain yang berkaitan perlu duduk semeja dan memeras segala idea yang ada bagi menjayakan usaha ini.


Kesimpulan


Isu ini bukanlah isu picisan yang boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak kerana ianya pasti akan mengakibatkan kesan negatif  jangka panjang yang akan membarah di negara ini.

0 maklum balas:

Post a Comment