Friday, May 18, 2012

Da’wah Berlainan Jantina




Situasi


Dalam sebuah tamrin, berlaku suatu dialog antara seorang peserta dan seorang ustaz;

Ustaz: Apa pendapat kamu berkenaan da’wah dengan kaum perempuan?

Peserta: boleh, tapi dengan cara yang sesuai. Sebagai contoh, kita dekati wali dia supaya menegur perempuan itu sendiri atau minta tolong sahabiah yang kita kenali dan yakini untuk tegur perempuan tersebut?

Ustaz: mm.. kenapa kamu tidak langsung menda’wah perempuan itu. Bukankah itu lebih cepat dan mampu menyelamatkan perempuan tersebut dari terus terjebak ke kancah kejahilan? Kamu tak kasihankan dia ke?

Peserta: kasihan.. tapi saya lebih kasihankan diri saya.. saya tahu saya tak mapu untuk menahan godaan dari kaum berlainan jenis..

Ustaz: Lemah sangat ke iman kamu tu sampai tak boleh tahan godaan sedemikian rupa? Kalau begitu kamu awal-awal sudah hilang kelayakan untuk menjadi da’ie.

Peserta: iman saya memang lemah.. dan akan semakin tenat jika saya campakkan diri saya ke arena da’wah berlainan jantina..

Ustaz: awak memang tak layak menjadi seorang da’ie.. (ayat provokasi)

Peserta: saya tak menolak da’wah kepada golongan berlawanan jantina secara mutlak. Tapi seperti yang saya nyatakan tadi, ia mesti kena dengan caranya. Da’wah one-by-one merupakan cara yang bakal mengheret kedua-dua pihak kepada masalah yang baru.. ini pendapat saya..

Berlaku perbahasan yang seterusnya antara ustaz dan peserta tersebut… dan aku tak berminat untuk menulisnya di sini..


Timbal-balik


Mafhum firman Allah s.w.t;

“maka, janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang ma’ruf.” (Al-Ahzab: 32)

Berkata Asy-Syarif Syeikh Rohimuddin Nawawi al-Bantani ‘Azmatkhan al-Husaini hafizahullah di dalam bukunya “Menyulam Cinta Menuju Gerbang Pernikahan”, ayat ini menjelaskan bahawa tema pembicaraan antara lelaki dan wanita harus dalam batas ma’ruf(kebaikan) tidak mengandungi kemungkaran dan boleh kita sebut momen yang serius, sebab keseriusan antara lelaki dan wanita adalah sebuah tindakan ma’ruf . Adapun main, huru-hara dan senda-gurau adalah sebuah kemungkaran. Maka dalam konteks keseriusan ini, tidak ada larangan bercakap-cakap sekadarnya.

Dan berdasarkan hujah ini, ada yang menyatakan bahawa da’wah antara lelaki dan perempuan adalah diharuskan kerana ianya adalah berbentuk percakapan ma’ruf selagi mana ianya tidak dicemari dengan AKSESORI hubungan yang menjurus kepada kemungkaran. Aku sekali-kali tidak menafikan tentang hukum ini.

Dan hujah ini diperkuatkan dengan firman Allah s.w.t yang mafhumnya adalah;

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain ; mereka menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat; serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71)


Fatwa Hati


Daripada Waabisoh Ibn Ma’bad r.a, beliau berkata; aku telah menemui Rasulullah s.a.w , lalu Baginda bersabda, “Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata, “Ya.” Bagindan bersabda, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati berasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.” (Hadith Hasan riwayat al-Imam Ahmad dan al-Daarimie dengan Isnad yang baik)

Dalam sabdaan yang lain, daripada al-Nawwas Ibn Sam’aan r.a. daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda,

“Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim)


Saat sukar membuat keputusan,
Mintalah fatwa hatimu yang mendinginkan,
Nescaya kau kan temui kedamaian,
Walau dicemuh orang kebanyakan.

Tidak semua hati yang mapan,
Untuk membuat suatu keputusan,
Hanya meraka yang mampu meletakkan,
hati di tempat yang penuh keberkahan.


Sollu ‘ala Nabi.

Wallahua’lam.

Thursday, May 17, 2012

Sahabat dan Kekasih yang sebenar adalah Allah s.w.t




Telah berkata Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali rahmatullah ‘alaih seperti yang dinukilkan oleh Asy-Syeikh Abdus Samad Al-Falembani rahmatullah 'alaih di dalam kitabnya Hidayatus Salikin;

“Ketahui olehmu bahawasanya taulanmu dan sahabatmu yang tiada bercerai akan dikau di dalam hadirmu yakni di dalam negerimu, dan di dalam safarmu yakni di dalam pelayaranmu, dan di dalam tidurmu, dan di dalam jagamu bahkan di dalam hidupmu dan matimu itu iaitu Tuhanmu dan Penghulumu dan Maulamu dan yang menjadikan akan dikau. Dan manakala engkau sebut akan Dia maka iaitu seolah-olah duduk Ia dengan dikau kerana firman Allah s.w.t di dalam hadith qudsi: Aku seolah-olah duduk dengan orang yang menyebut akan Daku.”